Masa sebenarnya adalah anugerah daripada Allah SWT kepada hamba-Nya yang bernama manusia yang amat bernilai. Dengan merujuk surah Al-Asr, surah yang ke-103, dapat dibuat kesimpulan bahawa manusia perlu menyedari bahawa masa adalah suatu anugerah Allah SWT yang tidak boleh disia-siakan. Justeru itu, demi kemajuan diri, agama, bangsa dan negara, persoalan masa mestilah diberi perhatian yang serius.
- Masa boleh dibahagikan kepada tiga peringkat, iaitu masa lampau, masa kini dan masa akan datang.
- Masa lampau: Merangkumi peristiwa yang telah berlaku kepada kita dan tidak mungkin kita lalui kembali.
- Masa kini: Masa yang kita miliki dan sepatutnya kita gunakan sebaik mungkin.
- Masa akan datang: Masa yang belum tentu dapat kita kecapi, kerana belum pasti kita mempunyai kemampuan untuk melakukannya.
Seterusnya kepentingan masa dapat dilihat dari segi kehidupan kita seharian. Sebagai manusia kita mempunyai dua kehidupan iaitu kehidupan sebagai individu dan berkumpulan. Sebagai individu, kita akan menggunakan masa yang ada untuk merancang apa yang bakal kita lakukan pada hari ini, esok dan seterusnya.
Rancangan tersebut dibuat supaya hidup individu lebih terurus, mudah dan sebagainya. Kita akan menetapkan masa untuk bekerja bagi mencapai sesuatu matlamat seperti belajar, makan, berhibur, berehat, beribadat dan menguruskan diri.
Kesemuanya ini akan membolehkan kita membahagikan masa dengan betul dan tidak mensia-siakan masa yang diberi. Setiap satu tugasan diberikan jumlah masa yang tertentu dan pencapaian yang berbeza.
Kehidupan manusia sebagai satu kumpulan
Melibatkan kehidupan bersama keluarga, masyarakat sekeliling,rakan persekolahan dan rakan sepejabat. Tugasan kita dalam kumpulan adalah berbeza-beza dan memerlukan waktu yang berlainan untuk dilaksanakan.
Kehidupan manusia sebagai seorang individu
Tugasan individu dalam keluarga adalah bergantung kepada kedudukannya. Jika ia adalah seorang anak, maka seharusnya ia akan menetapkan hidupnya dengan tugasan seperti membantu ibunya dalam tugasan harian di rumah, pembelajaran dan kegiatan sosialnya. Semua ini tidak akan dapat dilakukan oleh anak tadi jika ia tidak membahagikan masa dengan baik.
Sebagai seorang pelajar pula, ia akan berada dalam kumpulan pelajar yang sama-sama menuntut ilmu bagi mencapai sesuatu pada masa akan datang. Ia akan diberi tanggungjawab oleh rakan sekelasnya atau oleh gurunya untuk diselesaikan bersama- sama.
Kegagalannya menetapkan masa dalam melaksanakan tugasan yang diberikan tadi akan menimbulkan kesulitan kepada kumpulan tersebut. Perancangan dan pembahagian masa harus dilakukan dengan teliti mengikut keutamaan kerja supaya kita tidak mengganggu perjalananan masa orang lain. Dengan cara ini barulah kejayaan dapat dicapai.
MENGAPA KITA HARUS MENGURUS MASA DENGAN EFEKTIF?
Antara sebab kita perlu mengurus masa dengan efektif:
(a) Mengelakkan diri daripada membazir masa dengan sia-sia.
(b) Mengelakkan diri daripada amalan menangguh-nangguhkan masa.
(c) Supaya dapat belajar dengan berkesan.
(d) Melatih anda menggunakan masa dengan berkesan.
(e) Mengelakkan diri daripada panik untuk menghadapi peperiksaan.
DIMANAKAH MASA DIHABISKAN OLEH MANUSIA?
Sedarkah kita di manakah 24 jam yang diberikan tadi dihabiskan? Jean Louis Seaan dalam bukunya, ‘The Art Of Time’ ada mengemukakan lima perkara di mana masa dihabiskan. Menurut beliau, manusia telah membentuk satu tabiat sejak mula lagi bagi menetapkan apa yang akan dilakukan oleh manusia tersebut. Tabiat-tabiat ini adakalanya membantu manusia untuk mencapai kejayaan tetapi lazimnya menghalang kita daripada mencapai impian sendiri.
Tabiat manusia yang pertama:
Melakukan sesuatu yang kita suka terlebih dahulu sebelum melaksanakan sesuatu yang tidak kita gemari. Hal ini adalah kelaziman bagi setiap manusia. Perkara yang disukai akan diberikan perhatian yang lebih walaupun hal itu mungkin tidak memberikan apa-apa hasil pada kermudian hari. Sebaliknya perkara yang kurang diminati walaupun berpotensi tidak akan dilakukan dengan cepat atau sepenuh hati.
Misalnya, jika kita meminati muzik, maka kita akan berusaha untuk membeli kaset, alatan muzik dan belajar menggunakannya sepenuh masa. Sedangkan ketika itu contohnya kita seorang pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Mata pelajaran tertentu akan diabaikan, walaupun ia penting untuk masa depan. Nyatalah lazimnya sesuatu yang kita suka lakukan tidak semestinya memberikan faedah pada masa depan dan sebaliknya yang tidak disukai itu banyak memberi faedah pada masa depan.
Tabiat manusia yang kedua:
Melakukan perkara yang cepat berbanding yang lambat. Tiada siapa yang suka berbaris panjang dan menunggu untuk melihat dan mendapatkan sesuatu. Pada zaman yang serba canggih ini, semuanya inginkan setiap perkara yang berlaku itu pantas tanpa menghiraukan kesan di sebalik kepantasan tersebut.
Contoh yang mudah ialah ketika melintasi jalan raya. Terdapat dua pilihan untuk ke seberang jalan raya yang sesak sama ada menggunakan jejantas atau terus menyeberangi jalan tadi. Jarang yang akan menggunakan jejantas tetapi ramai yang sanggup menyeberangi jalan raya secara terus, namun risikonya amat tinggi.
Tabiat manusia yang ketiga:
Melakukan perkara yang awal sebelum yang akhir. Jean mengatakan, perkara yang awal itu memulakan sesuatu usaha dengan gigih dan tekun pada mulanya tetapi tidak berterusan hingga ke penghujung. Pepatah Melayu ada mengatakan, “Hangat-hangat tahi ayam”. Sikap ini amat meluas di kalangan kita.
Kita pada mulanya akan bergerak untuk melakukan sesuatu pekerjaan pada awalnya kerana pekerjaan itu mudah dan tidak banyak memerlukan penjagaan. Walau bagaimanapun, apabita tugasan tersebut semakin sukar dan bebanan semakin tinggi, kita akan mula patah semangat untuk melakukannya.
CIRI-CIRI MASA
Masa amat penting bagi kehidupan manusia. Justeru itu, setiap individu berkewajipan menguruskan masanya dengan penuh teliti supaya setiap detik perjalanan masa dapat dimanfaatkan. Masa adalah sesuatu yang berharga bagi setiap individu.
Antara ciri masa yang membuatkannya begitu berharga ialah :
Masa tidak boleh dijimatkan
Masa tidak boleh disimpan
Masa tidak boleh ditambah
Masa tidak boleh dikurang
Masa tidak boleh disembunyikan
Masa tidak boleh direka cipta
Masa tidak boleh dihentikan, dipercepatkan atau dilewatkan
Masa tidak boleh dipindah-pindahkan
Masa tidak boleh berpatah balik
Masa tidak boleh ditukar ganti
Masa tidak boleh dijual beli
Masa tidak anjal
Masa adalah terbatas
Masa adalah sama untuk semua orang
Masa cuma boleh digunakan
Apakah implikasi daripada penyataan di atas? Penyataan-penyataan ini bermakna kita perlu bijak menggunakan masa. Masa tidak boleh dikembangkan. Kita perlu menguruskan masa dengan berkesan dan bijaksana. Kita mesti menentukan masa. Semua orang sudah mengetahui bahawa setiap manusia yang pelbagai darjat dan bidang kerjaya hanya mendapat:
60 saat bagi satu minit
60 minit bagi satu jam
24 iam bagi satu hari
168 jam bagi satu minggu
7 hari bagi satu minggu
12 bulan bagi satu tahun
52 minggu bagi satu tahun
Percayalah, jika anda dapat menguruskan masa dengan berkesan dan membahagikannya untuk kegiatan-kegiatan yang berfaedah dan yang bermanfaat anda akan menghampiri kejayaan.
Disebabkan kehebatan ciri-ciri masa seperti yang dijelaskan maka Islam telah menyedarkan manusia tentang kepentingan masa dan betapa perlunya rnasa untuk dimanfaatkan dalam kehidupan di dunia ini.
Antaranya ialah ingatan daripada Rasulullah SAW yang telah bersabda:
” Dapatkan saham keuntungan dalam masa lima waktu sebelum tiba lima waktu yang lain .
Masa kamu hidup sebelum kamu mati,
Masa kamu sihat sebelum kantu sakit,
Masa kamu lapang sebelum kamu sibuk,
Masa kamu muda sebelum kamu tua,
Masa kamu senang sebelum kamu papa.
PENGGUNAAN MASA
Setiap individu mempunyai masa selama 24 jam. Dalam masa-masa yang terbatas itulah, setiap indiviclu mesti melaksanakan tiga aktiviti penting dalam hidupnya. Pada umumnya seorang manusia itu perlu 8 jam untuk bekerja. 8 jam untuk tidur dan 8 jam lagi untuk berehat dan berhubung dengan manusia lain.
Jadi melalui aktiviti-aktiviti ini, setiap manusia itu akan dapat menjalinkan perhubungan hidupnya dengan diri sendiri, sesama manusia, alam dan Tuhan-Nya.
Bagi masyarakat lslam. setiap muslim diingatkan untuk menyediakan jadual waktu kerja harian dengan tersusun supaya setiap matlamat dapat dicapai. Ingatan ini dapat dilihat daripada hadith Rasulullah SAW yang bersabda;
“Sewajar setiap yang berakal, selagi akal fikirannya tidak hilang, bahawa dia membahagikan masa-masanya kepada empat waktu,:
Waktu dia bermunajat (berzikir) pada Allah SWT.
Waktu untuk dia bermuhasabah tentang dirinya.
Waktu untuk dia berfikir berlubung dengan barang-barang ciptaan Allah SWT
Waktu untuk dia menumpukan kepada keperluannya seperti mencari makanan dan minuman.
Namun demikian, wajar juga diambil masa untuk beristirehat. Ini adalah kerana anggota badan yang letih lesu kerana banyak bekeria boleh membawa kepada kebosanan dan jemu. Oleh itu, amat perlu dibahagikan sedikit masa untuk bersuka-suka dan menghiburkan hati dengan perkara-perkara yang dibolehkan syarak.
Jadi secara umumnya setiap individu itu telah menggunakan setengah daripada jumlah masa tersebut untuk melakukan kerja-kerja persendirian, satu perempat (1/4) pulau ntuk bekerja atau belajar dan bakinya untuk aktiviti-aktiviti yang lain.
Setiap pelajar perlu menguruskan masa dengan bijak supaya tidak timbul masalah ‘tidak cukup masa’. Untuk rnenjadi pelajar yang cemerlang, individu mesti menguruskan masa dengan betul. Individu perlu merancang apa yang mahu dilakukan. Individu juga perlu merancang penjadualan sebenar untuk seminggu secara terperinci.
Oleh yang demikian, adalah jelas perlunya pengurusan masa dan setiap pelajar juga perlu ada kemahiran dalam menguruskan masa. Dengan itu boleh dikatakan bahawa masa itu bersifat ‘paradox’, iaitu tiada siapa yang mempunyai cukup masa tetapi semua orang mendapat jumlah yang sama. Terpulanglah kepada individu untuk menyesuaikan serta menguruskan masanya agar benar-benar berfaedah. Pada hakikatnya pengurusan masa ialah pengurusan kendiri atau pengurusannya hanya 24 jam sehari dan tidak lebih, tidak kurang agar masa tidak terbuang dengan sia-sia
Pengurusan masa secara tidak teratur akan menyebabkan kerja-kerja tidak berjalan mengikut perancangan, tertangguh, terbengkalai dan lain-lain. Ia juga turut membawa kepada rendahnya ‘self-esteem ‘, kerjaya yang tidak tercapai dan tingkahlaku yang boleh merosakkan kehidupan anda.
Cara pengurusan masa yang paling mudah ialah dengan menggunakan kaedah A. B dan C.
A = Ketahui apa yang telah anda miliki.
B = Ketahui apa yang anda mahukan.
C = Menggunakan A dan B untuk mendapatkan apa yang anda mahukan.
Pengurusan masa yang berkesan bukanlah bermakna seseorang itu bekerja dalam jangka masa yang lebih lama atau bekerja lebih keras (kuat) tetapi lebih kepada bermaksud ” Do more by working smarter.”
FAKTOR PENGURUSAN MASA YANG SALAH
Ramai individu gagal dalam menguruskan masa dengan betulkerana mereka tidak mempunyai perancangan yang rapi. Mereka menghadapi kehidupan secara tidak sistematik, kelam kabut dan gopoh-gapah.
Antara tabiat yang menyebabkan masa tidak diuruskan masa dengan betul ialah:
Tidak mempunyai jadual waktu harian.
Suka menangguh-nangguhkan masa dalam sesuatu aktiviti.
Suka melakukan kerja pada saat akhir (last minute).
Suka membazirkan masa dengan aktiviti yang tidak berfaedah.
Tidak mematuhi jadual waktu yang telah disediakan.
Tidak ada susunan keutamaan atau tidak tahu mana aktiviti yang kurang penting.
KEMAHIRAN YANG PERLU ADA DALAM MEMBUAT PERANCANGAN DAN PENJADUALAN WAKTU
Menghargai masa.
Masa ialah kehidupan itu sendiri dan merupakan nikmat Allah SWT yang paling bernilai. Jika anda membazir atau membuang masa dengan sia-sia bermakna anda tidak menghargai kehidupan anda. Hal ini juga bermakna anda tidak menghargai nikmat Atlah SWT kepada anda.
Menghitung masa.
Masa yang ada pada kita adalah terhad. Masa berlalu tidak akan berulang kembali. Oleh itu,anda harus menghitung banyak mana masa yang ada untuk menghadapi peperiksaan. Belum pasti semua masa yang anda hitung tadi benar-benar boleh anda gunakan. Oleh itu, kiralah pula berapa banyakkah masa yang benar-benar boleh anda gunakan untuk belajar setelah menolak masa tidur, rehat, bersukan. bercuti dan aktiviti-aktiviti lain lagi.
Mengagih-agihkan masa dengan bijaksana.
Pembahagian masa ini perlu dibuat secara bulanan, mingguan dan harian.
Menjaga masa dengan baik.
Anda perlu mendisiplinkan diri agar mematuhi rancangan yang telah diatur. Masa tidak boleh dibiarkan berlalu begitu sahaja tanpa hasil yang produktif. Anda perlu sentiasa menyemak sama ada masa anda diisi dengan baik atau banyak terbuang begitu sahaja. Anda perlu mengukur sejauh mana objektif anda tercapai dalam jangka masa yang telah ditetapkan.
Menunaikan objektif jangka pendek dan jangka panjang.
Untuk menghargai dan menggunakan masa dengan bijak, anda perlu menentukan objektif anda. Menentukan objektif bermakna anda menetapkan matlamat untuk diri anda. Hal ini bermakna anda mempunyai pandangan atau wawasan yang jelas tentang sasaran anda, hala tuju dan seterusnya strategi yang perlu dilakukan untuk mencapainya.
TIPS MENETAPKAN OBJEKTIF DALAM PENGURUSAN MASA
Seorang individu pertu mempunyai dua jenis objektif dalam melakukan sesuatu kerja iaitu objektif jangka pendek dan objektif jangka panjang.
Objektif jangka pendek
Biasanya ialah sesuatu yang ingin dicapai dalam masa sebulan atau dua bulan, satu penggal atau satu semester.
Objektif jangka panjang
Sesuatu yang ingin dicapai dalam masa satu hingga lima tahun.
Kebanyakan individu gagal disebabkan mereka tidak mempunyai objektif tertentu dalam kehidupan mereka. Mereka tidak tahu apakah yang ingin dicapai atau ke arah manakah hala yang akan dituju ataupun apakah yang harus dilakukan untuk menentukan sesuatu objektif. Mereka tidak mempunyai sasaran tertentu, akibatnya pembahagian masa tidak sistematik dan konsisten.
Berikut ialah beberapa panduan yang perlu dilakukan oleh seorang individu dalam menetapkan objektifnya :
(a) Tuliskan objektif anda
Dengan adanya objektif. Maka anda mempunyai matlamat. halatuju, pernyataan yang jelas dan juga perkara yang ingin dicapai. Hal ini juga akan menjadikan anda betul-betul serius dan membantu anda untuk memberi perhatian yang sepenuhnya untuk mencapai objektif tersebut
(b) Tentukan objektif anda secara spesifik
Anda perlu menyatakan objektif secara spesifik bukan dalam bentuk yang terlalu umum. Semua orang mahu berjaya tetapi pada tahap kejayaan yang sebagaimana?
(c) Tentukan objektif anda secara realistik dan boleh dicapai
Sasaran yang ingin dicapai mestilah berpijak di bumi yang nyata. Sasaran yang realistik ialah sasaran yang boleh dicapai oleh semua orang yang mempunyai kemampuan dan kebolehan yang sama dengan anda. Dengan perkataan lain, bukan sesuatu perkara yang mustahil untuk dicapai oleh seorang individu.
(d) Senaraikan objektif anda mengikut susunan keutamaan
Objektif yang paling penting mestilah mengatasi keutamaan daripada objektif yang kurang penting. Ini adalah untuk memudahkan anda memberi tumpuan kepada yang lebih penting dahulu. Jika anda tidak berjaya mencapai kesemua objektif yang ditentukan, sekurang-kurangnya anda dapat memastikan objektif anda tidak terabai.
(e) Menetapkan jangka masa tertentu
Untuk mencapai sesuatu objektif kita mesti menentukan batasan waktu atau ‘time frame’ iaitu bilakah objektif itu hendak dicapai ataupun boleh dicapai
TIPS PELAKSANAAN UNTUK MENGURUS MASA DENGAN BERKESAN
Berikut beberapa cadangan supaya anda dapat menggunakan masa selama 24 jam untuk menguruskan dengan lebih berkesan.
- Sediakan suatu jadual hari yang tetap. Jadualkan masa yang tertentu untuk perkara yang rutin.
- Buat suatu perkara pada masa itu. Apabila anda memulakan suatu kerja, selesaikan sehingga berjaya.
- Ketepikan sebarang perkara yang tidak berkenaan dengan kerja yang anda hendak selesaikan.
- Jangan tangguhkan perkara yang penting, walaupun ia tidak menyeronokkan. Ini akan mengganggu fikiran anda, mengurangkan daya penciptaan dan keupayaan kerja anda.
- Pada masa yang sesuai lakukan perkara yang memerlukan keupayaan otak yang maksimum.
- Tetapkan waktu atau satu jangka masa(time frame) untuk semua kerja, kemudian cuba patuhi batas waktu itu.
- Susunkan waktu selingan masa anda tidak boleh bekerja dengan berkesan. Buat senarai semak terhadap penggunaan masa anda. Dalam semakan itu perhatikan berapa banyak masa yang telah digunakan dengan baik dan berkesan.
- Anda harus bersikap selektif. Belajarlah mengatakan ‘tidak boleh’terhadap aktiviti-aktiviti yang tidak menguntungkan.
- Analisiskan gangguan anda. Ambil langkah-langkah yang sesuai supaya anda dapat menghindari gangguan tersebut ataupun mengurangkan kesannya.
- Buat satu perkara pada suatu masa sahaja. Elakkan membuat banyak perkara dalam suatu masa. Iniakan menyebabkan anda tidak dapat memberi tumpuan yang baik.
MEMBUAT PENILAIAN DAN PEMBETULAN MASA YANG TELAH DIRANCANG
Anda perlu membuat penilaian sejauh mana masa yang telah anda gunakan itu dapat mencapai matlamat atau objektif yang telah ditetapkan. Sebaliknya, anda perlu mengenal pasti mengapa objektif yang ditetapkan tidak tercapai atau lambat tercapai dalam jangka waktu yang ditentukan.
Seterusnya, anda mesti membuat pernbetulan yang perlu supaya pengurusan masa anda lebih berkesan. Rancangkan kaedah-kaedah yang lain supaya aktiviti-aktiviti yang dirancangkan dapat dilaksanakan dengan berkesan dan menjimatkan masa. Jika sesuatu aktiviti tidak berjaya dilakukan, anda perlu mengenalpasti apakah kesilapan atau kekurangan yang telah anda lakukan.
Berikut ialah lima langkah merancang peningkatan pengurusan masa:
Langkah 1
Nyatakan objektif peningkatan masa anda. Anda mestilah spesifik tentang berapa banyak masa yang ingin anda peruntukkan dalam jadual mingguan dan tarikh sasaran untuk mencapai objektif itu.
Langkah 2
Kenal pasti peluang yang ada. Anda mestilah spesifik. Adakah tugas yang dapatdiketepikan atau diagihkan? Apakah rancangan yang perlu dibuat?
Langkah 3
Pilih peluang yang anda rancang untuk memperoleh jumlah penjimatan masa yang dijangkakan dan bandingkan dengan penjimatan masa menurut tarikh sasaran anda.
Langkah 4
Senaraikan aspek perubahan yang telah dilakukan. Ini termasuk penyemakan semula dan mendapat kelulusan dan juga persetujuan serta kerjasama daripada mereka yang akan menjalankan sebahagian daripada tugas dan tanggungjawab anda seperti menyediakan ‘projek kursus’ secara berkumpulan.
Langkah 5
Ambil tindakan susulan dalam tempoh 10 hari. Kaji semula kemajuan anda dan ulangi sebarang langkah yang tidak menghasilkan keputusan seperti yang dijangkakan.
Penutup
1.Masa hendaklah dimanfaatkan sepenuh mungkin dan diselenggarakan dengan cara yang betul.
2.Masa ibarat pedang. Jika anda tidak menepati masa, nescaya masa itu tidak akan kembali semula
3.Mereka yang berjaya adalah mereka yang tahu menguruskan amsa dengan betul.
- Modul CORRECTIONAL OVERVIEW OF ISLAM (COOI) - July 6, 2018
- Protected: SKW 1102 Aplikasi Komputer - March 22, 2018
- Penanda wacana dalam penulisan - February 8, 2018
- Protected: Modul Ko-Kurikulum 1 & 2 - November 15, 2017
- Survey Pensyarah Aktif Berniaga - September 27, 2017
- Protected: Assignment Power Point – Surah Lazim - August 24, 2017
- Protected: Modul Pendidikan Islam 1 & 2 - April 4, 2017
- KOD ETIKA PERGURUAN MALAYSIA - December 23, 2016
- HUKUM MENYAMBUT MAULID AL-RASUL - December 13, 2016
- DEFINISI AHLUS SUNNAH WAL JAMAAH, UNTUK UMAT ISLAM DI NUSANTARA - December 9, 2016