Dalam menyiapkan sesuatu projek laman web, seseorang usahawan internet boleh memilih untuk menyiapkan sendiri surat jualan bagi laman web tersebut, ataupun outsource kepada penulis surat jualan yang berkemahiran khusus.

Sekiranya anda memilih untuk outsource sahaja tugas ini, berikut adalah beberapa tip untuk membuat pemilihan seseorang penulis surat jualan. Anda tidak perlu terburu-buru membuat pemilihan tersebut, kerana surat jualan adalah antara elemen penting dalam sesebuah laman web jualan. Anda ikuti sahaja saranan dan tip-tip berikut untuk membuat pemilihan penulis yang tepat.

1. Kaji keperluan anda
Perkara pertama yang perlu dipertimbangkan sudah tentu adalah keperluan anda sendiri. Adakah anda memerlukan surat jualan secara umum, yang boleh ditulis oleh mana-mana penulis surat jualan secara umum? Ataupun keperluan anda adalah seorang penulis surat jualan yang mempunyai pengetahuan teknikal secara khusus, seperti pengetahuan perisian komputer dan sebagainya.

2. Nilai tawaran yang diberikan
Setelah menentukan keperluan surat jualan tersebut, anda perlu membuat kajian ringkas apakah pakej atau tawaran penulisan surat jualan yang biasa disediakan untuk keperluan seperti yang anda kehendaki. Anda boleh melayari laman web untuk mendapatkan maklumat ini, atau bertanyakan kepada rakan-rakan di dalam network anda. Kemungkinan rakan-rakan anda pernah menggunakan perkhidmatan penulis surat jualan sebelum ini dan boleh mencadangkan kepada anda mana-mana penulis yang mereka sukakan.

3. Runding tawaran mengikut keperluan anda
Sekiranya terdapat beberapa pilihan penulis surat jualan yang menarik minat serta memenuhi keperluan anda, maka bolehlah anda merundingkan tawaran penulis-penulis ini berdasarkan kualiti kerja, skop kerja, upah yang dikenakan dan lain-lain kriteria. Sudah tentu anda juga inginkan seorang penulis yang mudah dihubungi sekiranya terdapat sebarang pindaan di minit terakhir dan sebagainya.

4. Minta sampel dan portfolio kerja
Dalam proses pemilihan juga, anda boleh meminta sampel dan portfolio kerja daripada mereka untuk dibandingkan di antara satu sama lain. Sampel dan portfolio ini kemungkinan mempunyai persamaan dengan jenis surat jualan yang anda perlukan untuk laman web anda sendiri.

5. Tentukan tempoh siap kerja
Sesudah anda memilih penulis surat jualan yang bersesuaian, anda perlu menetapkan tempoh khusus untuk kerja penulisan disiapkan. Ini termasuklah persetujuan mengenai berapa kali pindaan dan komentar boleh diberikan sehingga surat jualan tersebut menjadi sempurna seperti yang anda kehendakinya. Dalam tempoh kerja dilaksanakan, adalah lebih baik anda memberikan ruang kepadanya untuk menyiapkan kerja penulisan, dan tidak menghubunginya dari semasa ke semasa untuk bertanyakan perkembangan penulisan ataupun memberikan arahan-arahan baru berkaitan kerja yang sedang dijalankan olehnya. Sudah tentu ini bagi mengelak sebarang gangguan terhadap kerja penulisannya.

6. Uji hasil kerja dari kaca mata pelanggan
Apabila penulis tersebut memberikan deraf pertama, kedua dan seterusnya, bolehlah anda mengambil kesempatan ini untuk menilai hasil kerjanya serta memberikan komen serta saranan yang konstruktif bagi tujuan penambah baikan surat jualan tersebut. Sekiranya terdapat perkara yang anda tidak berpuas hati, lebih baik anda berikan komen sewajarnya tanpa menyakitkan hati penulis itu tadi, serta memberikan cadangan bagi setiap komentar yang anda lontarkan.

Anda juga perlu ingat bahawa sebarang penilaian yang dibuat ke atas deraf tadi adalah daripada kaca mata seorang pelanggan, dan bukannya seorang penjual produk. Jika perlu, anda boleh meminta pendapat rakan-rakan yang lain untuk memberikan maklumbalas mereka. Barulah pandangan rakan-rakan ini adalah neutral dan sebenarnya adalah dari kaca mata pelanggan.

7. Beri ruang untuknya menjadi lebih baik
Setelah kerja-kerja penulisan surat jualan selesai, segerakan pembayaran upah seperti mana dijanjikan. Sekiranya anda dapat menghasilkan sebarang jualan dengan menggunakan surat jualan tersebut, ambillah peluang untuk memaklumkan perkara ini kepada penulis surat jualan itu tadi. Ini akan menyebabkan dia merasa dihargai dan diingati. Dan sekiranya mendapatkan sebarang maklum balas positif atau negative berkenaan surat jualan itu tadi, bolehlah anda peritmbangkan untuk berkongsi perkara itu dengan penulisnya. Mudah-mudahan dia akan berusaha untuk menjadi lebih baik. Mungkin juga untuk projek-projek jualan anda di suatu hari nanti.

Setelah mempertimbangkan tip-tip yang dihuraikan di atas, diharapkan anda lebih jelas bagaimana untuk memilih penulis surat jualan untuk projek laman web anda selepas ini. Selamat mencuba!

About Ustaz Wan

Minat yang mendalam terhadap ilmu pengetahuan menjadikan beliau seorang multitasking dalam pelbagai bidang. Dari Dunia IT, Seni Beladiri Silat, Organisasi Berpersatuan, Keusahawanan, Pelbagai Permainan Sukan serta Motorsikal Berkuasa Tinggi dan macam-macam lagi. Seorang yang mudah mesra dan suka berkawan juga mempunyai minat untuk mengembara.

Share This:

Facebook
error: Maaf !!