Sekolah bakal bermula kembali tidak lama lagi. Maka saya mengambil kesempatan untuk berkongsi mengenai etika perguruan sebagai refresh buat kita semua yang bergelar guru. Tidak kiralah anda guru sekolah, mahupun guru silat, pensyarah kolej komuniti mahupun pensyarah universiti. Anda semua merupakan guru yang tidak boleh lari dari kod etika perguruan bagi menjamin kualiti pendidikan yang mantap seterusnya melahirkan anak murid yang baik dan tinggi sahsiahnya.

Profession perguruan mempunyai matlamat untuk membentuk insan dan ihsan manusia yang sempurna dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmaninya. Guru juga berperanan menyediakan seorang individu itu tentang peranan dan tanggungjawabnya di dalam masyarakat demi mencapai kesempurnaan dan kesejahteraan diri, keluarga, masyarakat seterusnya membantu negara mencapai kemajuan.

Dari pendapat keagamaan, seorang guru itu setaraf dan seangkatan dengan pemimpin dan ketua masyarakat kerana guru berperanan mendidik dan membimbing ahli masyarakat lain ke arah jalan yang benar dan tidak terpesong dari landasan kehidupan yang baik. Pekerjaan ini juga dianggap satu ibadah.

Image result for guru sekolah malaysia

Guru seharusnya menjalankan tanggungjawabnya dengan penuh dedikasi, tidak mementingkan diri sendiri dan memilih tugas. Ciri-ciri ini penting kerana tugas guru berkait rapat dengan mutu pendidikan di mana dalam pengajaran, jika guru lakukan dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh, ia akan menarik minat pelajar untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh.

Oleh kerana setiap tindakan dan tingkah laku guru akan menjadi perhatian dan ikutan pelajar, ia memerlukan tindakan yang penuh perhatian yang teliti dan berhati-hati. Kementerian Pelajaran Malaysia telah menetapkan garis panduan atau kod etika perguruan di Malaysia agar para guru tidak lari dari landasan serta tidak melakukan tindakan yang tidak wajar. Etika perguruan adalah satu set tingkah laku atau tanggungjawab guru terhadap masyarakat dan negara, pelajar, rakan sejawat dan ibu bapa.

Antara kod etika yang telah ditetapkan adalah :-

1)         Guru tidaklah harus bertingkah laku begitu rupa sehingga boleh mencemarkan sifat profesionalnya dan yang akan menyebabkan hilang kepercayaan orang ramai terhadap profesion perguruan.

Pernyataan diatas telah membawa maksud bahawa setiap tindak tanduk dan sikap guru lakukan mendapat perhatian masyarakat sekeliling terutama pelajar dan ibu bapa. Adalah amat penting bagi seorang guru agar menjaga perlakuan agar tidak menccemarkan kredibiliti keguruannya sehingga boleh menghilangkan kepercayaan masyarakat terhadap nilai-nilai murni seorang guru yang membawa tanggungjawab mendidik anak bangsa supaya bertingkah laku baik dan berakhlak mulia. Jika guru gagal, seluruh masyarakat tidak akan mempercayai guru dalam membantu ibu bapa mendidik anak-anak mereka.

2)         Guru tidaklah harus bertingkahlaku begitu rupa yang boleh membawa kepada jatuhnya maruah diri dan kehilangan  amanah berhubung dengan kewangan : Etika ini adalah melibatkan sikap dan prinsip hidup seorang guru apabila memegang sesuatu amanah terutamanya yang melibatkan kewangan. Seorang guru selain daripada mengajar dan mendidik, ada kalanya guru juga akan melakukan tugas mengutip yuran sekolah dan sebagainya. Dalam memegang amanah melibatkan wang, guru mestilah bersikap jujur, berhati-hati dan tidak lalai. Ini adalah kerana kesilapan yang kecil akibat kecuaian juga boleh membuang kepercayaan pelajar dan ibu bapa berhubung kewangan terhadap guru tersebut. Sukar bagi mereka untuk mengamanahkan anak mereka kepada seorang guru yang tidak jujur dan lalai.

3)         Dalam semua hubungan dan tugas, guru hendaklah menjalankannya dengan jujur : Ini bermakna ketika guru sedang melakukan tugas dan bergaul dengan pelajar, guru hendaklah berlaku jujur tanpa melakukan sesuatu itu dengan niat untuk mendapat ganjaran, nama mahupun populariti dikalangan pelajar. Jujur dalam memberi perlindungan kepada pelajar dan tidak pernah sekali cuba untuk mempergunakan hubungan baiknya untuk kesenangan peribadinya.

4)         Tanggungjawab utama guru adalah terhadap anak muridnya.  Kepentingan murid mengatasi semua kepentingan lain seperti kepentingan masyarakat, persatuan atau persendirian.

Apabila berlakunya konflik atau kekeliruan yang memerlukan guru membuat keputusan antara pelajar, persatuan yang diikuti oleh guru ataupun kehendak persendirian, keputusan yang perlu guru ambil pelajar menjadi perkara utama perlu guru dahulukan. Ini adalah kerana sudah menjadi tanggungjawab seorag guru itu untuk melindungi dan menjaga kepentingan pelajarnya terutama ketika disekolah. Sewaktu guru sedang menjalankan tugas, perkara lain harus di ketepikan buat sementara waktu agar guru dapat memberi perhatian sepenuhnya kepada pelajar.

5)         Guru haruslah menumpukan perhatian dan memberi pengajaran kepada setiap muridnya tak mengira bangsa, agama dan kepercayaannya.

Guru mestilah tidak mengamalkan sikap pilih kasih sesama kaum dan agama mengikut keselesaannya. Seperti contoh Cikgu Azman seorang berbangsa Melayu dan beragama Islam, maka Cikgu Azman mengajar dan memberi tumpuan kepada pelajar Melayu sahaja kerana berpendapat beliau mahu membela nasib bangsa sendiri tanpa mengambil peduli kaum lain yang dirasakan lebih pandai berbanding pelajar Melayu. Sikap yang ditonjolkan ini boleh menimbulkan konflik dan perasaan tidak puas hati di kalangan pelajar-pelajar bangsa Cina dan India.

6)         Guru haruslah bertugas sebagai ’pengganti ibu bapa’ dalam usaha membentuk tingkah laku murid ke arah matlamat yang diterima oleh masyarakat :   sebaik sahaja pelajar melangkah kaki ke sekolah, guru adalah merupakan orang paling tua dan orang yang paling diharapkan untuk menjaga, mengasuh dan mendidik pelajar kerana pada waktu persekolahan, ibu bapa sebenar keluar bekerja dan tidak dapat menumpukan perhatian pada anak mereka. Seorang guru yang baik adalah seorang yang melayan pelajarnya seperti anak sendiri agar pelajar tidak merasa tersisih dan dapat menikmati kasih sayang yang mungkin tidak diperolehi ketika di rumah.

7)         Guru haruslah mendidik dan mengambil tindakan secara adil terhadap semua murid tidak kira bangsa, warna kulit, jantina, bahasa, agama, kepercayaan politik, tempat asal, keturunan, daya intelek dan lain-lain : guru mesti melayan dan menyempurnakan tugasnya sama rata. Dalam mengajar juga, ilmu pengetahuan dicurahkan sama rata tanpa mengira status pelajar dihadapannya. Semua pelajar memerlukan ilmu pengetahuan yang sama sama ada dari mana dan siapa pelajar tersebut kerana mereka datang ke sekolah dengan tujuan yang sama iaitu menuntut ilmu.

      8)         Guru haruslah mengesan, menerima perbezaan individu di kalangan muridnya dan membimbing mereka memperkembangkan potensi mereka dari segi jasmani, intelek, daya cipta dan lain-lain : semasa mengajar guru harus peka bahawa pelajar adalah individu yang berbeza antara satu sama lain dari segi pembelajaran dan pemahamannya. Guru harus peka dan sentiasa prihatin dengan setiap pelajar agar tiada yang tertinggal dalam membantu mereka menonjolkan potensinya. 

9)         Guru haruslah menghormati hak setiap murid supaya maklumat sulit mengenai diri murid tidak diberitahu kepada orang atau agensi yang tidak berkenaan : guru sebagai seorang pemegang amanah dan seorang yang boleh dipercayai selepas ibu bapa bagi pelajar itu. Maka apa sahaja maklumat mengenai pelajar tidak boleh didedahkan sama sekali terutama jika maklumat itu boleh memalukan dan mengaibkan pelajarnya.

10)       Guru tidaklah harus menanam sikap yang boleh merosakkan kepentingan murid, masyarakat atau negara : guru tidak boleh bersikap tidak mempedulikan pelajarnya dan seterusnya tidak mementingkan kehendak masyarakat dan mencapai matlamat negara.

11)       Guru haruslah menanamkan sikap yang baik terhadap semua muridnya supaya mereka dapat berkembang menjadi warganegara yang taat dan berguna : melengkapkan pelajar dengan membimbing mereka ke arah dan tujuan yang baik sekaligus dapat melahirkan warganegara yang baik dan sedia memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara.

12)       Guru tidaklah harus menyatakan atau membuat sesuatu yang boleh mengurangkan keyakinan diri murid dan ibubapa terhadapnya : guru harus menjaga dan menyusun katanya dengan baik agar apa sahaja perkataan yang keluar dari guru tidak disalah erti dan menimbulkan rasa curiga kepada pelajar-pelajar mahupun ibu bapa. Ini boleh menjatuhkan maruah dan merendahkan martabat guru itu sendiri.

13)       Guru haruslah bertingkahlaku begitu rupa supaya menjadi contoh baik atau ‘role model’ kepada muridnya : guru sentiasa harus menunjukkan tingkah laku yang baik dan bernilai murni agar dapat memberi contoh atau model yang baik kepada pelajarnya. Ia juga adalah untuk menjaga nama baik guru dan professionnya.

14)       Guru tidak harus menerima apa-apa bayaran daripada muridnya untuk pelajaran atau pengajaran tambahan yang dijalankan semasa waktu sekolah atau cuti sekolah melainkan bayaran yang disahkan : tuisyen atau kelas tambahan persendirian yang mahu guru lakukan adalah mesti bertujuan untuk membantu pelajar meningkatkan prestasi dan mengatasi kelemahannya bukan untuk guru menambah pendapatan luar waktu sekolah. Apa sahaja pendapatan yang diperolehi daripada pengajaran adalah dilarang. Ini adalah bagi menjaga kredibiliti seorang guru yang berpekerti mulia.

      15)       Guru tidaklah harus mengiklankan dirinya untuk kerja tuisyen atau pengajaran persendirian : menerima bayaran untuk kelas tambahan adalah dilarang, apatah lagi mengiklankan dirinya untuk apa-apa kelas tuisyen anjurannya. Dengan erti kata lain guru dilarang meletakkan namanya dalam apa-apa iklan berkaitan agar guru tidak menimbulkan syak wasangka masyarakat sekeliling.

16)       Guru tidaklah harus memaksakan kepercayaan, keagamaan, politik persendirian terhadap muridnya : sudah tertakluk dalam perlembagaan negara bahawa rakyatnya adalah bebas menganut mana-mana agama. Oleh sebab itu guru tidak harus memaksa mahupun mempengaruhi pelajarnya agar mempercayai apa yang guru percaya. Guru harus berada di pihak yang neutral agar beri peluang pelajar agar mereka menilai dan memilih kepercayaan sendiri apakah yang terbaik untuk diri mereka sendiri. Guru hanya boleh memberi panduan selebihnya murid perlu membuat keputusan sendiri.

17)       Guru tidaklah harus meminta atau menerima hadiah daripada ibubapa atau ahli masyarakat dalam menjalankan tugas profesionalnya : setiap tugas dan tanggungjawab yang dijalankan hendaklah ikhlas tanpa mengharapkan atau meminta balasan daripada ibu bapa mahupun masyarakat.

18)       Guru tidaklah harus menjatuhkan nama baik guru lain : ini bermaksud bahawa dalam pergaulan juga guru harus menjaga nama baik sesama rakan setugas agar nama baik dan maruah guru tidak tercalar di kalangan pelajar.

19)       Guru haruslah menggunakan cara yang sahaja (iaitu berdasarkan kecekapan) untuk tujuan kenaikan pangkat atau untuk mendapat pekerjaan : guru sentiasa mengemaskini kecekapan dan cara bekerja agar dapat peluang yang sama unutk meningkatkan diri dan taraf pekerjaannya. Menggunakan kemahiran untuk naik pangkat bukan dengan cara mengampu pentadbir sekolah.

20)       Guru tidaklah harus mengiklankan dirinya dengan cara membesar-besarkan namanya untuk mendapatkan sesuatu pangkat dalam profesion perguruan : tugas guru yang utama adalah mengajar dan mendidik pelajar. Guru harus mengutamakan pelajar berbanding dirinya. Adalah dilarang sama sekali guru melampaui pelajarnya dengan berlumba-lumba menempa nama. Seharusnya guru membantu menaikkan nama pelajar bukan untuk kebaikan dirinya.

 

About Ustaz Wan

Minat yang mendalam terhadap ilmu pengetahuan menjadikan beliau seorang multitasking dalam pelbagai bidang. Dari Dunia IT, Seni Beladiri Silat, Organisasi Berpersatuan, Keusahawanan, Pelbagai Permainan Sukan serta Motorsikal Berkuasa Tinggi dan macam-macam lagi. Seorang yang mudah mesra dan suka berkawan juga mempunyai minat untuk mengembara.

Share This:

Facebook
error: Maaf !!