Perhatian: Jika Tak Nak Jatuh Dalam Bisnes Atau Hidup Seperti Empayar Rom, Ini 15 Kesilapan Yang Usahawan Mesti Elakkan

Julius Caesar, Pompei, Hercules, Cleopatra, Colosseum adalah nama-nama yang sinonim dengan Tamadun Rom. Rom, sebuah kota besar yang menempa sejarah pada saat negara-negara lain masih berada dalam keadaan yang baru nak letak batu asas. Pada ketika negara lain baru mahu membina sempadan kampung, Rom dah mula luaskan wilayah.

Walaupun sudah beribu tahun berlalu, sehingga kini keagungan Rom sering diadaptasikan dalam berbagai cerita sehingga kita pun rasa terpegun dengan kisah Empayar Rom. Siapa yang pernah tonton kisah Gladiator, Pompei, The Spartacus dan banyak lagi yang membuatkan kita lupa sebentar tentang hakikat sebenar yang terjadi kepada sebuah empayar tua ini. Hero-hero yang gagah perkasa yang ditonjolkan, barisan ahli Senat yang tekun dan bijak membina negara, puteri-puteri cantik yang penuh rahsia, dan angkatan kesatria yang kuat yang teguh menguatkan empayar, membuatkan kita rasa kagum dengan negaranya.

Empayar Rom terbina dalam beberapa jangkamasa. Beberapa proses telah mereka lalui untuk membinanya. Beberapa perang besar telah mereka hadapi sehingga negara itu cukup kaya dengan hasil sejarahnya. Namun sekukuh mana pun sebuah negara, sikap manusia ‘lah yang menjadi punca utama keruntuhannya. Ketamakan pangkat dan harta, pengurusan kewangan dan perbelanjaan peperangan yang buruk, kebangkitan hamba abdi untuk menentang ketidakadilan pemerintahan. Para pemerintah Rom yang berlumba-lumba nak membina nama dan meluaskan empayar tanpa memikirkan ‘resources’ dan kemampuan yang ada. Rasuah dan ketidakseimbangan politik juga menjadi sebab utama Empayar Rom runtuh.

Banyak perkara yang usahawan boleh pelajari dari sebuah empayar yang satu masa dulu pernah menakluki hampir seluruh Eropah ini.  Uniknya Rom, sehingga tercatat dalam Al-Quran dalam Surah Ar-Rum. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Orang-orang Rom telah dikalahkan. Di negeri yang dekat sekali, dan mereka sesudah kekalahannya itu akan mengalahkan lawannya.”
Ar-Rum: 2-3

Nak mengupas satu per satu helaian sejarah Empayar Rom, mungkin mengambil masa lebih dari sehari, tapi pernahkah anda terfikir, dalam anda sibuk berniaga nak membina perniagaan menjadi sebesar Empayar Rom, mampukah ia terus tegak berdiri untuk bertahun-tahun?  Atau, ianya juga boleh tumbang dengan sekelip mata?

Kami perhatikan, apa yang berlaku kepada Rom, mungkin boleh berlaku kepada usahawan-usahawan baru jika mereka tak berhati-hati dalam membuat tindakan.  Ada ramai usahawan tersilap langkah dan percaturan sehingga menyebabkan perniagaan mereka goyah dan runtuh tiba-tiba.  Nak memulakan bisnes adalah tidak mudah, nak membangunkannya penuh dengan cabaran dan ujian tapi bila bisnes mereka sudah mula ‘grow’, ianya akan mudah tumbang bila usahawan yang baru nak ‘up’  buat 15 kesilapan ini:

1) Bongkak
Bila bisnes dah semakin baik, cara hidup pun dah semakin baik.  Logistik pun dah berubah.  Mungkin ada sedikit perasaan riak dan bongkak di hati, melihat pencapaian sendiri.  Mungkin ada yang rasa ‘tak sangka aku boleh capai semua ini’  sehingga ada perasaan ‘aku lebih baik dari orang lain’ mula datang.

“Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang”  – Al-Isra: 37

Sejarah Rom juga menunjukkan kesombongan pemimpinnya menjadi faktor mereka dibenci rakyat.  Ianya jadi punca, masalah dalaman negara menjadi besar, para pentadbir dan ahli Senat mula berpecah belah.

2) Lupa Di Mana Mereka Bermula
Dr Azizan Osman pernah berkata dalam Inner Circle Meeting di Pulau Pinang awal Mei lalu “Kita asal orang susah, kita bersusah-susah nak bina bisnes, jadi jaga bisnes sebaiknya.”

Ramai usahawan yang baru nak naik, mudah lupa di mana asal usul mereka.  Mungkin sudah mula dikenali ramai, mungkin sudah ada pengikut yang agak besar, kita lupa zaman susah yang diharungi dulu.  Tak salah untuk menikmati kejayaan sekarang tapi jangan jadi lalang tegak berdiri tapi kosong, jadilah padi yang semakin berisi semakin tunduk ke bumi.

3) Berhenti Belajar Dan Berguru
Ramai usahawan mudah rasa dah pandai bila mereka dah mampu bina bisnes dan bawanya ke tahap yang ada sekarang ini.  Akibatnya, mereka mula berhenti belajar. Kononnya dengan alasan “takpelah, ilmu yang ada ni dah cukup.”  Tapi sebenarnya mereka tak tahu bahawa, ilmu yang mereka ada hanya mampu bawa mereka ke tahap sekarang sahaja.  Nak buat lebih lagi, nak capai tahap yang lebih tinggi, mereka perlu ada ilmu yang lebih tinggi.

Empayar Rom terbina hasil dari pemimpinnya yang banyak ilmu. Namun ianya runtuh kerana mereka menyalahgunakan dan memanipulasikan ilmu yang mereka ada. Sedangkan berilmu pun boleh runtuh, jadi bagaimana jika tiada ilmu?

4) Tidak Bina Struktur Bisnes Yang Kuat
Usahawan memang tak boleh lari dari aktiviti jual beli.  Tapi ramai usahawan baru, susah nak percayakan orang lain sehingga mahu melakukan semua perkara sendiri-sendiri.  Dalam hati ada banyak perasaan syak wasangka terhadap orang lain, susah sangat nak lepaskan sebahagian tugas kepada orang lain.  Semua benda mahu dibuat sendiri dan simpan dalam otak sendiri!
Masalahnya, anda tak kan mampu nak menguruskan semua perkara dalam satu masa seorang diri.  Di sinilah usahawan perlu pandai bina struktur bisnes yang kuat.  Bina Team yang kuat dan bina sistem bisnes yang teguh.  Sehinggakan, tanpa anda ada dalam bisnes pun, bisnes mampu berjalan sendiri.

5) Berhenti ‘Drive’ Bisnes
Ada beberapa sebab usahawan berhenti dari bina bisnes sendiri.  Mereka mungkin rasa:
● Dah rasa cukup dengan apa yang dicapai
● Sibuk dengan tugas-tugas sendiri
● Cepat sangat lepaskan urusan 100% kepada team
● Berhenti dari jadi ‘leader’ kepada team sendiri

Ramai usahawan gagal menduplikasikan diri sendiri di dalam bisnes, gagal untuk menjadi ‘leader’ yang baik tapi dengan cepat nak tinggalkan bisnes bergerak sendiri.  Akibatnya, bisnes akan mudah ke laut.

6) Mula Nak Bina Bisnes Lain
Yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran.  Ramai usahawan mudah rasa bosan dengan bisnes sendiri sedangkan masih banyak perkara yang mereka boleh buat untuk besarkan bisnes yang ada.  Ramai yang mudah rambang mata bila tengok orang lain buat bisnes dan nampak berjaya, sehingga terlupa yang bisnes sendiri pun masih huru-hara.  Struktur tak kuat, sistem pun tak ada tapi dah nak cuba buat macam-macam.

Jika kita baca sejarah Rom, antara sebab utama kejatuhan mereka ialah kerakusan mereka nak menawan dan menjajah kota-kota lain, tapi tidak ada perancangan yang khas tentang pembangunan dan pembinaan struktur kawasan jajahan baru.  Akibatnya mereka menerima serangan balas dan tercetusnya revolusi dan perang saudara.

7) Mula Nak Melabur Sana Sini
Pelaburan memang dilihat sebagai jalan singkat untuk membina kekayaan.  Masalahnya, melabur tanpa ilmu tak kan bawa kita ke mana-mana, bahkan boleh buat kepala lagi serabut dengan 1001 masalah.  Bila dah mula buat duit dan bina jenama, akan ramai orang datang dan tawarkan peluang nak Joint Venture dan peluang nak buat pelaburan.

Dengan tawaran keuntungan yang mereka berikan, memang mudah untuk gelap mata.  Tapi, ramai usahawan tak sedar, setiap pelaburan ada risikonya sendiri, dan setiap pelaburan takkan berhasil tanpa kita sumbangkan apa-apa usaha.  Jadi, sebelum melabur fikir dulu, adakah kita mampu fokus dan buat tindakan yang konsisten nak uruskan beberapa perkara dalam satu masa.

8) Tidak Memperbaiki Operasi
Banyak syarikat runtuh kerana gagal untuk memperbaiki operasi, akaun dan pengurusan syarikat.  Kesilapan usahawan ialah bila bisnes dah jalan, mereka mula rasa OK dengan sistem operasi, akaun dan pengurusan yang ada atau mereka rasa tak perlu atau juga rasa tak ada masa nak lihat dan kaji semula pengurusan operasi, akaun dan pengurusan syarikat keseluruhannya.  Bila kita rasa semuanya OK, mulalah kita tak sedar kesilapan dan kelemahan yang berlaku dalam syarikat.  Bila masalah dah besar, baru nak nampak dan  mungkin masa itu dah agak lambat untuk kita perbaiki.

Ada ramai usahawan yang berniaga tanpa pengurusan akaun yang betul.  Ramai yang masih guna akaun sendiri untuk terima bayaran, tidak ada pengurusan cukai dan GST yang betul, bahkan operasi syarikat tunggang langgang.  Kakitangan tak dipantau sebaiknya sehingga ada yang baru sedar, kakitangan sendiri curi duit syarikat.
Kan pening..?

9) Tidak Bina Team Yang Berkualiti
Antara sebab utama kejatuhan Empayar Rom ialah, para ahli Senat yang berpecah belah dan membina puak-puaknya yang tersendiri.  Mungkin ini dilihat sebagai satu masalah politik dan fahaman berbeza tapi inilah akan jadi bila sesebuah syarikat tak berkongsi visi dan misi yang sama.

Dalam bisnes, Team bukan sahaja terdiri dari kakitangan syarikat tapi juga stokis, agen dan dropshippers.  Semua ini perlu selari dan semua yang menjadi unsur dalam bisnes perlu faham misi dan visi perniagaan dengan jelas.

Ramai usahawan rasa ‘training’ atau latihan kepada kakitangan, stokis dan agen sesuatu yang tak penting, tapi inilah yang sebenarnya penguat sesebuah perniagaan.  Jika lihat syarikat besar seperti McDonalds, Air Asia, Google dan banyak lagi mereka mempunyai pusat latihan sendiri yang digunakan untuk melatih kakitangan.

Kakitangan yang dilatih sebaiknya akan memudahkan usahawan untuk menduplikasikan diri masing-masing menjadi kepada beberapa orang yang faham, percaya dan sanggup memperjuangkan misi dan visi syarikat.

10) Lari Fokus
Memang mudah untuk lari fokus bila dah ada duit dan dah ada masa sikit.  Ramai usahawan yang rasa macam tak sabar nak membesarkan empayar perniagaan, nak banyakkan jenis perniagaan dan nak buat macam-macam sehingga yang ada di tangan pun tak mampu nak diuruskan.

Uruskan sebaiknya apa yang sedang diusahakan sehingga anda jadi sangat mahir, sehingga anda dah sangat yakin ianya boleh bergerak sendiri tanpa anda perlu pantau setiap masa, barulah anda boleh cabar diri anda dan buat sesuatu yang lain.

11) Tidak Berkomunikasi Dengan Team
Kegagalan berkomunikasi dengan Team membuatkan banyak isu-isu kecil menjadi besar.  Jangan mudah nak harapkan Team faham 100% apa yang kita mahu.  Team kita bukan ahli nujum nak faham isi hati dan apa yang kita fikirkan.  Mereka perlu kita berkomunikasi dengan usahawan.  Mereka perlu ‘clarity’, mereka perlu ilmu untuk lebih faham dan yakin apa yang mereka perlu lakukan.  Ramai usahawan mudah lepas tangan dan harapkan Team faham dengan satu baris ayat arahan yang di Whatsapp atau diemelkan.

12) Abaikan Pelanggan Yang Ada
Dalam berbisnes, usahawan perlu sentiasa cari pelanggan baru TAPI masih kena jaga pelanggan lama supaya mereka terus kekal bersama kita untuk beli lebih banyak, beli berulang kali dan yang yang lebih baik jadi ‘referral’ kepada prospek baru.

Masalahnya, usahawan baru selalu abaikan pelanggan yang ada.  Kurang membina ‘engagement’ dengan mereka dan selalu sangka mereka dah tahu tentang perniagaan anda, jadi tak perlu lagi untuk diingatkan.

Masa inilah, pesaing mula timbul dan mereka pun akan lupakan anda kerana dah tertarik ke tempat lain.

13) Leka Dengan ‘Lifestyle’ Baru
Memang tak dapat kami nafikan, menjadi anak didik Dr Azizan Osman, hasil dari Program-Program Richworks mampu menjadikan ramai usahawan biasa-biasa menjadi luar biasa.  Kalau dulu tak berapa bergaya, dengan hasil yang ada, Alhamdulilah hidup dah lebih baik.  Kalau dulu tak dikenali, kini dah mungkin boleh jadi selebriti.

Ini kisah benar, ramai usahawan mudah leka dengan ‘lifestyle’ baru yang mereka ada setelah mampu bina bisnes.  Dah mampu melancong ke luar negara untuk jangka masa yang lama, dah mampu untuk ada masa dan luangkannya dengan cara tersendiri sehingga mula leka.

Bisnes pun tak dijengah.  Apa yang berlaku setiap hari dalam syarikat pun buat endah tak endah.  Saat ini berlaku, bersedialah untuk melihat keruntuhan bisnes sendiri jika anda terus nak leka dengan apa yang anda ada.

14) Sindrom “Selesalah Sangat”
Jangan mudah rasa selesa dengan apa yang ada.  Saat anda rasa selesa dengan kehidupan sekarang, saat itulah anda tak lagi ‘grow’.  Saat anda rasa tak ada cabaran dan semuanya senang, saat itulah hidup anda akan mendatar.

Rasa selesa boleh buatkan kita lalai.  Ramai usahawan yang berhenti buat tindakan untuk menjadi lebih baik bila mula rasa selesa.  Ramai usahawan tertipu dengan rasa selesa sehingga tak perasan segala masalah dan persaingan yang tiba-tiba muncul.

15) Tidak Perbaiki Kualiti Produk Dan Perkhidmatan
Kodak dan Nokia adalah dua contoh syarikat ternama yang jatuh kerana tidak mahu perbaiki kualiti produk mereka.  Kodak, walaupun antara yang pertama menghasilkan kamera digital, tapi sikap ‘tak apa’ dan yakin yang mereka boleh ‘sustain’ untuk satu jangka masa yang lebih lama membuatkan mereka jatuh terduduk dan hampir pupus.  Begitu juga dengan Nokia, keengganan mereka untuk berubah kepada ‘touch screen’ menyebabkan mereka hampir dilupakan.

Ramai usahawan sangat yakin produk mereka yang terbaik, perkhidmatan mereka yang paling memuaskan hati dan tak mahu untuk berubah dan buat lebih baik.  Akibatnya, bila pesaing datang dan jumpa peluang untuk menjadi lebih baik, baru anda nak gigit jari.

Sebagus mana pun bisnes anda, pasti ada ruang untuk lakukan semuanya dengan lebih baik lagi.

Dalam membina bisnes, jangan mudah sangat rasa kita dah cukup baik.  Belajar dari kejatuhan Empayar Rom.  Sikap tamak dan terlampau mahu meluaskan kuasa menjadikan Rom sendiri tidak stabil dan sarat dengan masalah dalaman.

Pastikan asas bisnes dan sistem perniagaan sangat kukuh dan kuat sehingga dapat bertahan dalam apa juga cabaran.  Jangan jadi seperti rumah besar tiangnya sebatang, mudah jatuh bila ditimpa gelombang.

The post Apa Yang Anda Terutamanya Usahawan Perlu Belajar Dari Kisah Klasik Kejatuhan Empayar Rom appeared first on Azizan Osman International.

Blog – Azizan Osman International

About UstazWan.Com

Minat yang mendalam terhadap ilmu pengetahuan menjadikan beliau seorang multitasking dalam pelbagai bidang. Dari Dunia IT, Seni Beladiri Silat, Organisasi Berpersatuan, Keusahawanan, Pelbagai Permainan Sukan serta Motorsikal Berkuasa Tinggi dan macam-macam lagi. Seorang yang mudah mesra dan suka berkawan juga mempunyai minat untuk mengembara.

Share This:

Facebook
error: Maaf !!